Saturday, July 20

7 Khasiat Kurma yang Mungkin Anda Tidak Tahu


 
Kurma atau Tamar merupakan sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika ia sudah masak atau masih mentah. Ianya dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang mana sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Qur’an sahaja terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah SAW juga sendiri telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan ianya amat sinonim dengan kisah sirah baginda.

1) Paling pantas diproses dan diserap, sekaligus memberikan tenaga segera:

Memandangkan kandungan gula ringkasnya (monosaccharide) yang sangat tinggi malah lebih tinggi dari pisang, kurma berupaya memberikan “tenaga segera” yang akan diserap oleh tubuh serta-merta. Berbeza dengan kebanyakan buah-buahan lain yang mengadungi sukrosa (disaccharide). Disaccharide seperti sukrosa harus dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi monosaccharide lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

2) Kaya dengan serat dan potassium:

Kurma dimakan tanpa perlu membuang kulitnya dan pada kulitnya itulah terkandung serat. Kurma adalah antara buah-buahan yang amat kaya dengan serat, serat larut mahupun tak larut. Kita sering menganggap buah-buahan seperti pisang itu mengandungi serat yang tinggi, tetapi tahukah anda, dalam 100g Kurma terdapat 8g serat sedangkan dalam 100g Pisang hanya terdapat 2.6g serat sahaja? Tinggi serat amat baik untuk sistem pelawasan.
 
Selain itu kurma kaya dengan Potassium dan beberapa zat galian yang lain. Potassium adalah elektrolit yang akan menyeimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh badan apabila kita kehilangannya, terutama sepanjang tempoh berpuasa. Tidak perlu membeli 100 Plus sekiranya khuatir akan kekurangan elektrolit ketika berbuka, memadai dengan beberapa biji kurma dan air suam. Potassium juga membantu dalam pembinaan otot termasuk otot jantung dan mampu memelihara sistem saraf.

3) Penguat memori:

Ramai yang berfikiran hanya kismis yang baik untuk menguatkan daya ingatan, namun hakikatnya kurma juga tidak kurang hebatnya. Ianya amat sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

4) Baik untuk wanita mengandung/bersalin:

Masih ingat kisah Maryam yang hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS? Menerusi malaikat Jibrail, Allah telah mewahyukan kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya menggegar pohon kurma sehingga gugur lantas memakannya tatkala lemah selepas bersalin.

5) Penawar Racun:

Diriwayat oleh Aishah r.a., “Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan.”

6) Merawat penyakit:

Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus seperti serbuk teh. Ianya direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

7) Mengubati gangguan usus dan sembelit:

Ketidakserasian dengan gluten menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Kurma mencegah ini dari berlaku.

No comments:

Post a Comment