PEKAN - Seorang Pegawai
Tadbir Diplomatik (PTD) di Kementerian Pertahanan mati lemas semasa
menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136, dekat sini hari ini.
Ketua
Polis Daerah Pekan Supt Yahya Othman berkata mangsa, Aldy Hasmi Abu
Hassan, 35, disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang di Hospital
Pekan.
Allahyarham Aldy Hasmi Abu
Hassan
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada
2.30 petang ketika mangsa dan 243 pegawai yang lain sedang menjalani
latihan menyeberangi sungai di sebatang tali air berdekatan Sungai
Miang, dekat sini.
"Tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam
air dan jurulatih kemudian menarik mangsa dari dalam air ke darat lalu
terus memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum menghantar
mangsa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun
mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan hasil bedah
siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas," katanya kepada
Bernama di sini malam ini.
Yahya berkata Allahyarham Aldy
Hasmi dan peserta kursus yang lain sedang mengikuti latihan di kem
tersebut dari 3 hingga 28 Sept ini.
Difahamkan mangsa, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, sedang mengikuti Diploma Pentadbiran Awam di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).
"Mangsa juga telah menjalani ujian perubatan sebelum menjalani latihan tersebut," katanya.
Beliau
turut dimaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di
Jalan Sultanah, Alor Setar malam ini juga untuk urusan pengebumian.
Dalam
pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali, berkata dia
sempat menyaksikan saat Allahyarham Aldy Hasmi terjatuh ke dalam air
ketika latihan itu diadakan.
"Ketika dia jatuh,
jurulatih memanggilnya tetapi dia tidak menyahut dan dengan segera
jurulatih menariknya naik ke darat, tetapi mendapati mulut Aldy Hasmi
sudah berbuih," katanya.
Sementara itu di KUALA LUMPUR,
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mengarahkan Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) dan Intan menghentikan serta-merta aktiviti
lasak melibatkan kursus Diploma Pengurusan Awam bagi bakal Pegawai
Tadbir dan Diplomatik (PTD) serta kursus lain bagi pegawai-pegawai tidak
beruniform.
Ini, katanya berikutan insiden kematian Aldy Hasmi ketika sedang menjalani latihan wataniah di Pekan, Pahang.
Beliau juga mengarahkan JPA dan Intan supaya menyiasat serta mengemukakan laporan berhubung kejadian itu.
"Bagi
pihak seluruh Perkhidmatan Awam, saya mengucapkan takziah kepada
keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh
Allah S.W.T dan ditempatkan bersama orang yang beriman," kata Ali
melalui laman Facebooknya. - Bernama
No comments:
Post a Comment