Umat Islam perlu yakin dengan sepenuh-penuhnya jiwa dan raga bahawa rezeki
terletak dalam kekuasaan Allah atau di tangan Allah, bukan di tangan makhluk
ciptaan-Nya. Jangan sesekali mempertikaikan rezeki yang anda perolehi atau yang
orang lain perolehi.
Mahfum Firman Allah (Saba’:24)
Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepada mu dari langit dan dari
bumi?” Katakanlah: “Allah”, dan Sesungguhnya Kami atau kamu (orang-orang
musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.
Mahfum Firman Allah (Al-Ankabut:60)
Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya
sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha
mendengar lagi Maha mengetahui.
Mahfum Firman Allah (Ali Imran:26):
Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan
kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang
Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan
orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya
Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Memang banyak ayat-ayat Al-Quran yang merujuk kepada rezeki sebenar yang kita
peroleh atau yang hilang daripada kita semuanya dikembalikan kepada Allah
SWT.
Adapun yang dirujuk kepada saya dalam soalan ini, seolah-olah memberi makna
bahawa ada manusia yang berikhtiar menutup rezeki orang lain dan membuka rezeki
seseorang.
Dengan erti kata lain, ada manusia boleh mengkayakan atau memiskinkan manusia
dengan kebolehannya, maka tentulah logiknya dia juga boleh membuka rezeki
dirinya (untuk memperkayakan diri sendiri), bahawa dengan kekayaan itu dia
boleh, membantu orang yang susah dan bukan menyusahkan orang yang sudah
senang.
Secara logiknya, membuka rezeki lebih mudah daripada menutupnya. Contohnya,
membuat sebuah bangunan lebih susah daripada membukanya. Memasang satu pintu
mengambil masa yang lama dan sukar, sebaliknya memecahkan pintu adalah mudah dan
sekejap sahaja.
Pada saya mungkin, restoran yang pertama, dibuka awal, tiada saingan, maka
dengan sendirinya ramai pelanggan. Manakala restoran lain dibuka, dengan cara
yang berbeza, layanan dan makanannya mungkin lebih berkualiti, muka ramai yang
tertarik dan mengubah selera.
Sememangnya ada orang mengadu kepada saya bahawa premis perniagaannya tidak
dapat dilihat oleh pelanggan, seolah-olah telah ditutup. Terpaksa berpindah ke
tempat lain. Sedangkan restoran itu sebenarnya masih dibuka. Mungkin juga
pelanggan tidak perasan wujudnya restoran tersebut. Mungkin juga pelanggan
hilang konsentrasi. Sebagai contoh ada ketika kita pernah kehilangan seuatu
benda (cermin mata misalnya), lalu kita mencarinya di merata-rata tempat,
setelah puas mencari tidak berjumpa.
Maka isteri, bertanya, “Apakah yang kita cari, kita menjawab mencari cermin
mata. Lalu dia memberitahu, “Itu cermin mata ada di atas meja”.
Mengapa selepas kita puas mencari tidak bertemu? Apakah kita disihirkan orang
sehingga benda yang begitu mudah tidak dijumpai? Mungkin benar ada orang
mengusahakan seperti meletakkan sesuatu yang dipercayai boleh menyekat rezeki,
tetapi yakini lah bahawa semua itu adalah usaha jahat manusia, walhal punca
rezeki sebenar-benarnya di tangan Allah.
Bagaimanapun kita mesti berusaha menghindarkan perbuatan jahat manusia,
seperti dengki khianat sebagaimana yang disebut dalam Surah an-Naas. Oleh itu,
mohonlah kepada Allah, mohon perlindungan kepada-Nya. Carilah sebab-sebabnya
mengapa Allah takdirkan keadaan sedemikian berlaku.
Ingatlah wahai umat Islam, mempertikaikan rezeki Allah bermakna
mempertikaikan Rukun Iman yang ke-enam. Beerti tidak berimanlah seseorang umat
kepada Rukun Iman.
INGATLAH WAHAI UMAT ISLAM.
Sumber dari: Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
No comments:
Post a Comment